Saturday, November 23

Nasi punten sesuai untuk menurunkan berat badan?

Nasi punten hijau kegemaran Aslinda dan keluarga.

KUALA LUMPUR: Nasi atau karbohidrat (karbo) sering dianggap sebagai musuh utama bagi individu yang ingin mengawal berat badan kerana karbo juga mengandungi gula yang akan membuatkan badan menjadi cepat gemuk.

Memandangkan nasi mengandungi karbo yang tinggi, ramai menolak hidangan nasi dalam usaha menurunkan berat badan dan menggantikannya dengan melebihkan hidangan serat serta protein.

Lebih menyukarkan keadaan, ada individu tidak boleh meninggalkan hidangan nasi dan perlu mengambilnya setiap hari walaupun mengetahui nasi adalah sumber karbo yang berupaya menjadikan berat badan naik.

Dalam carta pengambilan makanan sihat seperti disarankan Kementerian Kesihatan (KKM) iaitu Suku Suku Separuh, sama nilainya dengan suku (nasi), suku (protein – ikan atau ayam) dan separuh fiber (sayur).

Nasi punten juga enak dimakan dengan sambal bilis – gambar hiasan. Foto kredit: Penbiru.com

Sehubungan itu, jika anda kreatif dan mahu terus menikmati keenakan nasi dengan lauk dalam jumlah yang terkawal, cuba menu nasi punten yang mungkin boleh membantu anda mengambil nasi dengan jumlah yang sedikit sahaja.

YouTuber masakan, Aslinda Amir, berkata nasi punten ialah makanan masyarakat Jawa yang biasanya dimakan dengan lauk kering seperti sambal bilis atau sambal udang kering.

“Dalam kalangan orang Jawa, nasi punten adala nasi biasa yang berwarna putih, tetapi saya mengambil inisiatif menggunakan air pandan agar lebih menarik dan wangi.

“Kali pertama saya makan nasi punten berwarna hijau adalah ketika menunaikan haji di Makkah 20 tahun lalu bersama-sama keluarga. Saudara kami yang menetap di Makkah membawa nasi punten berwarna hijau ketika menziarahi kami dan saya terus suka dengan nasi punten hijau,” katanya.

Nasi punten ialah nasi yang dikepal dengan bentuk sedikit bujur dan dimakan dengan lauk-pauk kering seperti sambal, namun jika ingin menambah lauk berkuah, juga tidak menjadi kesalahan.

Aslinda berkata, nasi punten sama seperti nasi putih, tetapi orang dahulu sangat kreatif dengan membentuk nasi menjadi kepalan bujur dan dimakan dengan sambal.

“Boleh makan dengan apa sahaja lauk dan saya melihat nasi punten ialah nasi yang mengenyangkan walau hanya dimakan tiga ketul sahaja.

“Kepalan nasi punten ini apabila dimakan dengan sayur dan lauk boleh dijadikan menu diet kerana nasinya sedikit sahaja, tetapi kenyang. Kita boleh sahaja meletakkan sayur atau salad untuk dimakan bersama-sama nasi punten ini,” katanya.

Berikut disediakan resipi nasi punten dan nasi ini enak dihidang bersama-sama sambal bilis.

Bahan-bahah:
3 pot beras (basuh dan tos)
5 pot air
1 pot air pandan
1 pot santan (jika tidak mahu menggunakan santah, gantikan dengan air)

Cara penyediaan:
1. Tanak nasi seperti biasa dengan masukkan kesemua bahan di dalam periuk nasi.
2. Ketika nasi masih panas, hancurkan nasi menggunakan alu dan kepal nasi berbentuk bujur.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *