Friday, April 19

McDonald’s Malaysia Bayar Zakat Perniagaan RM2 Juta Bagi Tahun 2021

McDonald’s Malaysia membayar zakat perniagaan berjumlah RM2 juta kepada semua 14 negeri di Malaysia.

Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia dan Datuk Haji Ahmad Marzuk bin Shaary, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), menyampaikan cek replika yang melambangkan sumbangan Zakat syarikat kepada wakil-wakil Agensi Pungutan Zakat dari 14 buah negeri.

Pembayaran bagi tahun 2021 ini adalah jumlah terbesar sejak McDonald’s Malaysia mula membayar Zakat perniagaan lima tahun lalu, sejak syarikat itu diambil alih Lionhorn Pte. Ltd., sebuah anak syarikat Kumpulan Reza dari Arab Saudi.

Majlis penyampaian berkenaan diadakan di McDonald’s Putrajaya Presint 2 oleh Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar kepada wakil daripada kesemua 14 Agensi.

Azmir  menekankan bahawa pemberian sumbangan kepada masyarakat yang memerlukan adalah sebahagian daripada teras utama kepada tujuan dan hasrat McDonald’s, sama ada melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) McDonald’s mahupun sumbangan Zakat

Turut hadir menyaksikan majlis berkenaan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Haji Ahmad Marzuk Shaary dan wakil penerima zakat dari seluruh negara.

Ahmad Marzuk  dalam ucapannya menegaskan bahawa Zakat merupakan asas kepada struktur sistem ekonomi Islam dan mempunyai komitmen berterusan terhadap pembangunan sosio ekonomi secara global

Ahmad Marzuk dalam ucapannya berkata, sumbangan zakat adalah penting dalam menyokong kebajikan sosial masyarakat yang kurang berkemampuan.

“Dengan pembayaran zakat perniagaan oleh McDonald’s Malaysia, diharap  dapat membantu Agensi Pungutan Zakat di seluruh Malaysia.

“Agensi juga menyediakan bantuan kewangan kepada masyarakat yang memerlukan, serta meneruskan penyaluran bantuan dalam pelbagai bentuk bantuan kebajikan dan pendidikan,” katanya.

Sementara itu, Azmir berkata, langkah dilakukan McDonald’s menyumbang kembali kepada masyarakat yang memerlukan merupakan nilai teras McDonald’s.

“Sama ada melalui program tanggungjawab sosial korporat mahupun melalui sumbangan Zakat, inisiatif sebegini tetap menjadi komitmen syarikat kami sepanjang tempoh pandemik COVID-19 dan perintah kawalan pergerakan.

“Oleh itu, sumbangan kami pada hari ini amat bermakna di mana kami mampu menyumbang sebanyak RM2 juta dalam Zakat yang juga merupakan jumlah tertinggi kami sehingga kini bagi membantu komuniti yang amat memerlukannya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *