Thursday, May 2

Pemeriksaan awal elak wanita daripada kanser serviks

Pada 2020, seramai 1,740 wanita  didiagnos menghidap kanser serviks atau pangkal rahim di Malaysia dan 991 kematian dicatatkan akibat kanser ini berdasarkan Globocon Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sekali gus meletakkan kanser serviks sebagai antara 10 jenis kanser paling tinggi menyerang rakyat negara ini.

Bagaimanapun, kanser serviks dikatakan mampu dicegah sekiranya seseorang wanita itu melakukan pemeriksaan pap smear. Benarkah kenyataan itu?

Pakar Pembedahan Laparoscopy dan Gynae-Oncology, Hospital Pantai Laguna Merbok Sungai Petani, Dr Mathews Joy Mathew berkata, setiap wanita perlu menjalani ujian pap smear bagi mengelakkan mereka terhindar daripada kanser serviks.

Dr Mathews Joy Mathew, Pakar Pembedahan Laparoscopy dan Gynae-Oncology di Hospital Pantai Laguna Merbok Sungai Petani

Katanya, Pap smear ialah ujian yang dijalankan untuk mengesan peringkat sebelum kanser dan peringkat pra-kanser atau mengesan kehadiran virus Human Papillomavirus (HPV) yang boleh mengakibatkan kanser.

“Pemeriksaan pap smear disyorkan kepada wanita setelah setahun kelahiran anak pertama atau setahun selepas melakukan hubungan seksual yang pertama.

“Secara lazimnya, ujian pap smear digalakkan dilakukan setahun sekali walaupun disyorkan tiga tahun sekali oleh National Screening Protocol,” katanya kepada Zona Suri.

HPV lazim menyerang wanita yang  aktif melakukan hubungan seksual di usia muda atau saling bertukar pasangan seks. Sehubungan itu pap smear wajar dilakukan untuk mengesan sekiranya individu ada menunjukkan simpton terkena jangkitan HPV yang boleh membawa kepada kanser serviks.

“Pap smear dilakukan dengan pengambilan sel di kawasan serviks dan dihantar ke makmal sebelum keputusan diperolehi dalam tempoh seminggu bertujuan mengenalpasti kehadiran virus Human Papillomavirus yang juga dikenali sebagai HPV yang berisiko penyebab kanser.

“Tujuan pap smear juga dilakukan untuk memastikan sama ada seseorang mempunyai gejala peringkat pra kanser agar mampu dicegah supaya tidak berlakunya peringkat seterusnya,” katanya.

Dr Mathews berkata, sekiranya keputusan menunjukkan Low Grade Squamous Intraepithelial Lesion (LSIL) atau High Grade Squamous Intraepithelial Lesion (HGSIL) di mana terdapat sel pra kanser yang berlainan dari sel normal, peringkat seterusnya ialah menggunakan kaedah kolposkopi untuk memastikan sama ada wujud kehadiran sel kanser ataupun tidak. Selepas itu, wanita disaran mengulangi ujian pap smear dalam tempoh setiap enam bulan.

“Sebaliknya, jika keputusan menunjukkan terdapat jangkitan HPV , kita kena pastikan adakah jenis HPV itu ialah HPV 16,18 atau 31 yang berisiko untuk kanser.

“Terdapat lebih 100 jenis HPV yang dikesan namun ketiga-tiga jenis terbabit berisiko terhadap kanser.  Setiap wanita itu disaran mengulangi ujian pap smear setiap tahun bagi mengenal pasti  tahap kesihatan seterusnya.

Kanser serviks terjadi selepas terdapat perubahan sel normal kepada sel abnormal, dan seterusnya boleh bertukar kepada sel pra kanser sebelum sel tersebut bertukar menjadi sel kanser.

Secara kebiasaannya, proses perubahan sel kanser mengambil tempoh masa yang sangat panjang sehingga kadang-kala mencecah kepada 20 tahun.

Oleh sebab itu, kesedaran dan peringatan sangat penting agar setiap wanita melaksanakan langkah awal pencegahan kanser serviks melalui ujian pap smear.

Sekiranya pengesanan peringkat awal dilakukan, langkah-langkah pencegahan boleh diambil. Peluang pengesanan awal sangat baik, kerana mampu mencegah kanser atau membuat rawatan awal agar sel kanser tidak membentuk.

Gejala sebelum berlakunya kanser

Dr Mathew berkata, setakat ini, tiada sebarang gejala dikesan di peringkat pra kanser dan individu itu mampu menjalani kehidupan secara normal. Begitu juga dengan kehadiran HPV sehingga kadang-kala kewujudannya tidak disedari tetapi ia mampu dikesan dengan pemeriksaan pap smear. Ini kerana terdapat sesetengah virus HPV boleh sembuh dengan sendiri tanpa rawatan.

Bagaimanapun, gejala bagi seseorang yang telah menghidap kanser servik ialah berlaku tompokan darah atau pendarahan di luar waktu haid.

“Kanser pangkal rahim atau serviks boleh dielak dan boleh dicegah dengan melakukan ujian pap smear. Ujian papsmear boleh dilakukan di hospital dan klinik kesihatan, atau klinik dan hospital swasta yang menyediakan kemudahan itu.

“Ujian yang dilakukan tidak mengambil masa panjang dengan hanya mengambil sampel sel dari kawasan serviks sebelum dihantar ke makmal untuk mendapatkan keputusan.

Tambahnya lagi, wanita digalakkan mengambil vaksin sebelum melakukan hubungan seksual yang pertama. Di Malaysia, suntikan vaksin HPV diberikan kepada semua murid perempuan tingkatan satu secara percuma di sekolah.

Bagaimanapun, wanita dewasa juga digalakkan mengambil suntikan HPV sekiranya belum berkahwin dan belum pernah melakukan hubungan seksual, maka digalakkan mendapatkan suntikan vaksin HPV di mana-mana klinik atau hospital yang menyediakan perkhidmatan berkenaan.

Katanya, risiko tetap ada cuma berkurangan kerana vaksin hanya dapat melindungi 90 peratus manakala 10 peratus lagi perlu dikesan dengan melakukan ujian pap smear.

“Kebanyakan wanita mempunyai perasaan malu untuk melakukan ujian pap smear biarpun ada sesetengahnya dikendalikan oleh doktor atau jururawat wanita.

“Kesedaran dalam kalangan wanita untuk melakukan ujian pap smear juga sangat rendah namun risiko yang dihadapi cukup besar. Ahli keluarga perlu memberikan sokongan terhadap wanita agar kanser serviks ini mampu dicegah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *