Friday, March 29

Ratu Malaysia Universe 2019 sedia terima tawaran berlakon

Shweta akan mengakhiri tugasnya selaku Ratu Malaysia Universe 2019, September ini.

KUALA LUMPUR: Ratu Malaysia Universe 2019, Shweta Sekhon tidak teragak-agak untuk menerima tawaran berlakon sekiranya skrip yang ditawarkan bersesuaian dengan dirinya.

Shweta yang bakal mengakhiri tugas rasminya selaku ‘Duta Malaysia’ pada 5 September 2020 berkata, beliau bersedia untuk mencuba bidang lakonan bagi mencabar dirinya.

“Ketika ini saya agak sibuk dengan pelbagai tugasan rasmi selaku Ratu Malaysia Universe, tetapi selepas ini saya ingin mencuba pelbagai bidang termasuk lakonan.

“Saya sedia mempertimbang tawaran dalam bidang itu jika ada watak yang bersesuaian, tetapi bidang ini sesuatu yang baharu bagi saya dan banyak yang perlu saya belajar,” kata wanita jelita ini ketika ditemui pada majlis memperkenalkan Habib sebagai penaja utama barang kemas Ratu Malaysia Universe 2020, di Ampang, baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Dapatkan syiling emas Habib edisi terhad Merdeka

Ketika ini Shweta sibuk menghadiri pelbagai majlis bagi mempromosikan pertandingan ratu Malaysia Universe 2020.

Shweta yang kini sedang mengikuti pengajian di Help University turut berjinak-jinak dengan dunia pengacaraan apabila menjadi pembaca berita sukan di RTM, sejak beberapa bulan lalu.

Sehubungan itu, kata gadis jelita itu, beliau sedang dalam usaha untuk memperbaiki penguasaan bahasa Melayu khususnya sebutan baku bagi disesuaikan dengan imej pengacara.

“Saya teruja dengan pengalaman baharu ini dan ingin memperbaiki diri saya untuk menjadi pengacara yang baik termasuk meningkatkan penguasaan bahasa Melayu.

“Banyak yang perlu dipelajari dan saya akan ambil peluang selepas menamatkan tugasan sebagai Ratu Malaysia Universe nanti untuk belajar mengenai dunia pengacaraan,” katanya.

Shweta menjadi sebutan ramai apabila diumumkan selaku penerima Anugerah Kostum Kebangsaan Terbaik pada pertandingan Ratu Universe 2019, namun kemenangannya ditarik balik oleh penganjur selepas didakwa berlaku kesilapan teknikal.

Pada pertandingan itu, Shweta yang menggayakan busana unik berkonsepkan Peranakan Indulgence hasil rekaan Carven Ong terpaksa menyerahkan anugerah berkenaan kepada Ratu Filipina, Gazini Ganados yang tampil dengan busana diperbuat daripada bahan berwarna kelabu berkilauan.

Busana Peranakan Indulgence yang digayakan Shweta pada pertandingan Ratu Universe 2019 berjaya menarik perhatian ramai.

Bagaimanapun, Shweta berkata, beliau tidak kecewa dengan keputusan berkenaan, malah beliau dan Gazini sepakat menyatakan kedua-dua busana berkenaan adalah pemenang anugerah itu.

“Kedua-dua busana yang digayakan oleh saya dan Gazini memang unik dan cantik. Kami berpendapat mungkin juri memberikan markah yang sama bagi kedua-dua busana itu, namun keputusan berpihak pada busana yang digayakan Gazini.

“Apapun, kejadian berkenaan membuatkan hubungan kami erat, malah saya masih berhubungan dengan Gazini,” katanya.

Peranakan Indulgence merupakan busana dengan kombinasi hebat menggunakan kain sarung dan songket dengan dilengkap aksesori berwarna-warni bagi melambangkan masyarakat majmuk di Malaysia.

Malam Gala Pertandingan Ratu Malaysia Universe 2020 akan diadakan pada 5 September 2020 dan buat pertama kalinya, upacara pemahkotaan Ratu Malaysia Universe akan diadakan secara atas talian menerusi siaran langsung daripada  www.missuniversemalaysia.com.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *